Dari Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w ada bersabda :
"Sesungguhnya orang yang tiada di dalam hatinya sesuatu daripada al-Quran seperti rumah yang roboh."- Riwayat at-Tirmidzi
Alhamdulillah, beruntunglah bagi orang beriman yang menjadikan al-Quran itu sebagai isi hatinya,menjadi hiasan peribadinya dan undang-undang dalam kehidupannya.
Ketika menyebut hadis di atas, Dr. Radwan Jamal (seorang pensyarah UIAM) dalam sebuah kuliahnya telah mengutarakan soalan kepada kami tentang apa yang dimaksudkan dengan 'al-bait al-kharib' dan 'al-Jauf' di dalam hadis tersebut.
'Bait al-kharib 'ialah rumah yang roboh, ia diumpamakan juga seperti rumah yang ditinggalkan. Bayangkanlah apa yang menghuni di dalam rumah yang dibiarkan kosong?
Ya, sarang labah-labah, semak-samun, keadaan yang tidak terurus, kotor dan sebagainya. Berbeza bukan dengan rumah yang dihuni?
Adapun 'al-Jauf 'membawa maksud 'hati.'
Begitulah hati manusia. Hati yang kosong dengan al-Quran diibaratkan seperti rumah usang yang roboh. Tiada apa lagi yang mengukuhkan sebab atau untuk menggalakkannya terus hidup. Justeru tidak mustahil jika harapan kepada Allah dalam kehidupan juga telah hilang dimakan keusangan hati.
Dua Gelas Berbeza
Dr. Radwan Jamal juga ada memberikan contoh dua gelas yang berbeza. Satunya terisi dengan air dan satu lagi yang dibiarkan kosong.
Beliau bertanya, adakah gelas yang kosong itu akan berterusan kosong atau akan masuk ke dalamnya pelbagai unsur; sama ada unsur baik ataupun unsur yang buruk?
Begitulah ibaratnya keadaan dua hati manusia!
Hati manusia yang terisi dengan al-Quran seperti gelas yang terisi air. Sejuk hati dan tenang sentiasa. Bila diuji mudah sahaja kembali kepada Allah kerana tautan hatinya berdasarkan kalam Allah. Lantas keyakinannya hanya diletakkan kepada penciptanya.
Namun, hati yang tiada terisi dengan apa-apa akan terbiar dan dibiarkan kosong. Jika tidak terisi dengan mahmudah (sifat yang positif), yang terisi nanti hanyalah penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, dendam, benci dan sebagainya.
Alhamdulillah, begitulah beliau mengajar kami untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran setiap kali mendapat ilmu baru. Sebagaimana beliau yang selalu mengingatkan kami untuk tidak lupa menjawab dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.